PORTAL RASMI JABATAN PERLINDUNGAN DATA PERIBADI

Portal Rasmi
Jabatan Perlindungan Data Peribadi

Tafsiran

Kongsi Halaman

* Sila rujuk Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) bagi tafsiran lengkap.

“Agensi Pelaporan Kredit”

mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010. “Akta ini” termasuk peraturan-peraturan, perintah, pemberitahuan dan perundangan subsidiarI lain yang dibuat di bawah akta ini.

“Daftar”

ertinya Daftar Pengguna Data, Daftar Forum Pengguna Data atau Daftar Tataamalan;

“Data Peribadi”

ertinya apa-apa maklumat yang berkenaan dengan transaksi komersial, yang—

(a) sedang diproses secara keseluruhannya atau sebahagiannya melalui kelengkapan yang dikendalikan secara automatik sebagai tindak balas kepada arahan yang diberikan bagi maksud itu;

(b) direkodkan dengan niat bahawa ia sepatutnya diproses secara keseluruhannya atau sebahagiannya melalui kelengkapan itu; atau

(c) direkodkan sebagai sebahagian daripada sistem pemfailan yang berkaitan atau dengan niat bahawa ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada sistem pemfailan yang berkaitan, yang berhubungan secara langsung atau tidak langsung dengan seorang subjek data, yang dikenal pasti atau boleh dikenal pasti daripada maklumat itu atau daripada maklumat itu dan maklumat lain dalam milikan seorang pengguna data, termasuk apa-apa data peribadi sensitif dan penyataan pendapat tentang subjek data itu; tetapi tidak termasuk apa-apa maklumat yang diproses bagi maksud suatu perniagaan pelaporan kredit yang dijalankan oleh sesuatu agensi pelaporan kredit di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010.

“Data Peribadi Sensitif”

ertinya apa-apa data peribadi yang mengandungi maklumat tentang kesihatan atau keadaan fizikal atau mental seseorang subjek data, pendapat politiknya, kepercayaan agamanya atau kepercayaan lain yang bersifat seumpamanya, pelakuan atau pengataan pelakuan apa-apa kesalahan olehnya ayau apa-apa data peribadi lain yang ditentukan oleh menteri melalui perintah yang disiarkan dalam Warta.

“Jawatankuasa Penasihat”

ertinya Jawatankuasa Penasihat Perlindungan Data Peribadi yang ditubuhkan di bawah seksyen 70.

“Kepentingan Vital”

ertinya perkara yang berhubung dengan kehidupan, kematian atau keselamatan seseorang subjek data.

“Kumpulan Wang”

ertinya Kumpulan Wang Perlindungan Data Peribadi yang ditubuhkan di bawah seksyen 61.

“Menggunakan”

berhubung dengan data peribadi ertinya perbuatan yang melaluinya data peribadi itu termasuk ke dalam atau berada di bawah kawalan seoarang pengguna data.

“Menteri”

ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi perlindungan data peribadi.

“Menzahirkan”

berhubung dengan data peribadi, ertinya perbuatan yang melaluinya data peribadi itu disediakan oleh pengguna data.

“Orang yang berkaitan”

berhubung dengan seorang subjek data, dengan apa jua cara sekalipun diperihalkan, ertinya:-

(a) Dalam hal seorang subjek data yang di bawah umur lapan belas tahun, ibu bapa terhadap subjek data itu

(b) Dalam hal seorang subjek data yang tidak berupaya menguruskan hal ehwal sendiri, seorang yang dilantik oleh mahkamah untuk mengurusakan hal ehwal itu, atau seorang yang diberi kuasa secara bertulis oleh subjek data untuk tindakan bagi pihak subjek data itu.

“Pegawai diberi kuasa”

ertinya mana-mana pegawai yang diberi kuasa secara bertulis oleh Pesuruhjaya di bawah seksyen 110.

“Pembetulan”

berhubung dengan data peribadi, termasuk pindaan, perubahan, ubah suaian atau pemotongan.

“Peminta”

berhubung dengan data peribadi, ertinya mana-mana orang selain seorang pekerja pengguna data, yang memproses data peribadi itu semata-mata bagi pihak pengguna data itu, dan tidak memproses data peribadi itu bagi apa-apa maksud persendiriannya;

“Pemprosesan”

berhubung dengan data peribadi, ertinya mengumpul, merekod, memegang atau menyimpan data peribadi itu atau menjalankan apa-apa- pengendalian atau set pengendalian terhadap data peribadi itu termasuk:-

(a) Penyusunan, penyesuaian atau pengubahan data peribadi;

(b) Mendapatkan kembali, merujuk kepada atau menggunakan data peribadi

(c) Penzahiran data peribadi melalui penghantaran, pemindahan, penyebaran atau selainnya menjadikannya tersedia; atau

(d) Penjajaran, penggabungan, pembetulan, pemadaman atau pemusnahan data peribadi;

“Pendaftaran”

ertinya pendaftaran seorang Pengguna Data di bawah seksyen 16;

“Pengguna Data”

ertinya seseorang yang sama ada berseorangan atau bersesama atau bersama dengan orang lain memproses apa-apa data peribadi atau mempunyai kawalan terhadap atau membenarkan pemprosesan apa-apa data peribadi, tetapi tidak termasuk seorang pemproses data;

“Pengguna data yang berkaitan”

berhubung dengan:-

(a) Sesuatu pemeriksaan, ertinya pengguna data yang menggunakan sistem data peribadi yang menjadi subjek pemeriksaan itu;

(b) Sesuatu aduan, ertinya pengguna data yang dinyatakan dalam aduan itu;

(c) Sesuatu penyiasatan;

(i) Dalam hal suatu penyiasatan yang dumilakan dengan suatu aduan, ertinya pengguna data yang dinyatakan dalam aduan itu;

(ii) Dalam mana-mana hal lain, ertinya pengguna data menjadi subjek penyiasatan itu;

(d) Sesuatu notis penguatkuasaan, ertinya pengguna data yang terhadapnya disampaikan notis penguatkuasaan itu;

“Perniagaan Pelaporan Kredit”

mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010;

“Pesuruhjaya”

ertinya Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi yang dilantik di bawah seksyen 47;

“Pihak Ketiga”

berhubung dengan data peribadi, ertinya mana-mana orang selain:-

(a) Seorang subjek data

(b) Seorang yang berkaitan yang berhubung dengan seorang subjek data;

(c) Seorang pengguna data;

(d) Seorang pemproses data; atau

(e) Seorang yang diberi kuasa secara bertulis oleh pengguna data untuk memproses data peribadi di bawah kawalan langsung penguna data itu;

“Sistem pemfailan yang berkaitan”

ertinya apa-apa set maklumat yang berhubung dengan individu setakat yang, walaupun maklumat itu tidak diproses melalui kelengkapan yang dikendalikan secara automatik sebagai tindak balas kepada arahan yang diberikan bagi maksud itu, set maklumat itu distrukturkan, sama ada dengan merujuk kepada individu atau dengan merujuk kepada kriteria yang berhubungan dengan individu, dengan apa-apa cara supaya maklumat khusus yang berhubung dengan individu tertentu boleh diakses dengan mudah.

“Subjek Data”

ertinya seseorang individu yang menjadi subjek data peribadi itu;

“Tarikh yang ditetapkan”

ertinya tarikh atau tarikh-tarikh yang berkaitan, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang padanya Akta ini mula berkuat-kuasa;

“Tataamalan”

ertinya Tataamalan perlindungan data peribadi berkenaan dengan suatu golongan pengguna data khusus yang didaftarkan oleh Pesuruhjaya menurut seksyen 23 atau yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya di bawah seksyen 24.

“Transaksi Komersial”

ertinya apa-apa transaksi bersifat komersial, sama ada secara kontark atau tidak, yang termasuk apa-apa perkara yang berhubungan dengan pembekalan atau pertukaran barang atau perkhidmatan, agensi, pelaburan, pembiayaan, perbankan dan insurans, tetapi tidak termasuk sesuatu perniagaan pelaporan kredit di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010.

Jabatan Perlindungan Data Peribadi

Scroll to Top