PESURUHJAYA

Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi dilantik di bawah Seksyen 47 oleh Menteri bagi maksud menjalankan fungsi dan kuasa yang diberikan kepada Pesuruhjaya di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) atas apa-apa terma dan syarat yang difikirkannya wajar. Pesuruhjaya yang dilantik di bawah subseksyen (1) ialah suatu pertubuhan perbadanan yang kekal turun-temurun dan mempunyai suatu meterai perbadanan. Pesuruhjaya boleh membawa guaman dan dibawa guaman terhadapnya atas nama perbadanannya.

Pesuruhjaya hendaklah mempunyai fungsi yang berikut:-

(a) Menasihati Menteri mengenai dasar kebangsaan bagi perlindungan data peribadi dan segala perkara lain yang berkaitan;

(b) Melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang perlindungan data peribadi, termasuklah perumusan dasar dan tatacara operasi;

(c) Memajukan dan menggalakkan persatuan atau badan yang mewakili pengguna data untuk menyediakan tataamalan dan menyebarkan tataamalan itu kepada anggotanya bagi maksud Akta ini;

(d) Bekerjasama dengan pertubuhan perbadanan atau agensi kerajaan bagi maksud melaksanakan fungsinya;

(e) Menentukan menurut Seksyen 129 sama ada mana-mana tempat di luar Malaysia mempunyai suatu sistem bagi perlindungan data peribadi yang sebahagian besarnya seumpama dengan yang diperuntukkan di bawah Akta ini atau yang dapat digunakan bagi maksud yang serupa seperti Akta ini;

(f) Menjalankan atau menyebabkan dijalankan penyelidikan terhadap dan mengawasi pembangunan dalam pemprosesan data peribadi, termasuk teknologi, untuk mengambil kira kemungkinan apa-apa kesan pembangunan itu terhadap privasi individu berhubung dengan data peribadinya;

(g) Memantau dan menyelia pematuhan peruntukan Akta ini, termasuk pengeluaran pekeliling, notis penguatkuasaan atau apa-apa surat cara lain kepada mana-mana orang;

(h) Menggalakkan kesedaran dan penyebaran maklumat kepada orang awam mengenai kuat kuasa Akta ini;

(i) Berhubung dan bekerjasama dengan orang yang melaksanakan fungsi perlindungan data peribadi yang seumpama di mana-mana tempat di luar Malaysia berkenaan dengan perkara yang berkepentingan bersama, termasuk perkara yang melibatkan privasi individu berhubung dengan data peribadinya;

PESURUHJAYA PERLINDUNGAN DATA PERIBADI MALAYSIA

(j) Mewakili Malaysia melalui penyertaan dalam acara yang berhubungan dengan perlindungan data peribadi sebagaimana yang dibenarkan oleh Menteri, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; dan

(k) Menjalankan apa-apa aktiviti dan melakukan apa-apa perkara yang perlu, memberi kebaikan dan patut bagi pentadbiran Akta ini, atau apa-apa maksud lain yang selaras dengan Akta ini sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri.

Seksyen 49. Kuasa Pesuruhjaya

(1) Pesuruhjaya hendaklah mempunyai segala kuasa untuk melakukan semua perkara yang perlu atau suai manfaat bagi atau berkaitan dengan pelaksanaan fungsinya di bawah Akta ini.

(2) Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), kuasa Pesuruhjaya hendaklah termasuk kuasa—

  1. untuk mengutip apa-apa fi yang ditetapkan oleh Menteri;

  2. untuk melantik mana-mana ejen, pakar, perunding atau mana-mana orang lain yang difikirkannya patut untuk membantunya dalam pelaksanaan fungsinya;

  3. untuk merumuskan pembangunan sumber manusia dan program kerjasama bagi pelaksanaan fungsinya dengan patut dan berkesan;

  4. untuk membuat kontrak;

  5. untuk memperoleh, membeli, mengambil, memegang dan menikmati apa-apa jenis harta alih atau tak alih bagi pelaksanaan fungsinya, dan untuk memindahhakkan, menyerahhakkan, menyerahkan balik, memulangkan, menggadaikan, menggadaijanjikan, mendemiskan, memindahkan hakmilik atau selainnya melupuskan, atau membuat apa-apa urusan mengenai harta itu atau apa-apa kepentingan mengenainya yang terletak hak padanya;

  6. untuk melaksanakan apa-apa fungsi lain yang ditugaskan oleh Menteri dari semasa ke semasa; dan

  7. untuk melakukan semua perkara yang bersampingan dengan atau berbangkit daripada pelaksanaan fungsinya.