Notis Perlindungan Data Peribadi

NOTIS PERLINDUNGAN DATA PERIBADI (PDP)

Notis ini bertujuan untuk menjelaskan mengenai kaedah pengumpulan, pemprosesan, penyimpanan, penzahiran serta langkah-langkah perlindungan ke atas data peribadi anda selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].

1. JENIS DATA PERIBADI YANG DIKUMPULKAN

Jabatan Perlindungan Data Peribadi (“JPDP”) mengumpul pelbagai jenis data peribadi daripada anda bagi melaksanakan fungsi pengawalseliaan dan penguatkuasaan di bawah Akta 709 termasuk tetapi tidak terhad kepada:

a) maklumat pengenalan diri seperti nama penuh, tarikh lahir, jantina, nombor kad pengenalan / nombor pasport dan status perkahwinan;

b) maklumat perhubungan seperti alamat tempat tinggal, nombor telefon dan e-mel;

c) maklumat kewangan atau pembayaran;

d) maklumat pekerjaan atau perniagaan seperti nombor pendaftaran syarikat dan sektor perniagaan

e) maklumat teknikal seperti alamat IP, jenis pelayar dan kuki daripada interaksi dalam talian;

f) maklumat lain yang diperlukan untuk pelaksanaan fungsi pengawalseliaan dan penguatkuasaan JPDP.

Kegagalan anda untuk membekalkan data yang diperlukan boleh menjejaskan keberkesanan JPDP dalam melaksanakan fungsi pengawalseliaan dan penguatkuasaan di bawah Akta 709.

2. TUJUAN PENGUMPULAN DAN PEMPROSESAN DATA PERIBADI

Data peribadi yang dikumpulkan akan diproses bagi tujuan-tujuan berikut:

a) memproses permohonan pendaftaran golongan Pengawal Data;

b) mengendalikan aduan dan siasatan berhubung pelanggaran di bawah Akta 709;

c) menjalankan aktiviti pemeriksaan dan pemantauan pematuhan;

d) menyampaikan maklumat, advokasi, latihan dan kempen kesedaran awam berkaitan perlindungan data peribadi;

e) komunikasi rasmi dengan anda melalui pelbagai saluran seperti surat, e-mel, dan panggilan telefon;

f) menyediakan perkhidmatan pelanggan dan pengurusan pentadbiran dalaman;

g) mematuhi keperluan undang-undang dan peraturan;

h) menjalankan penyelidikan, penilaian dasar dan analisis statistik.

3. SUMBER PENGUMPULAN DATA

JPDP mengumpul data peribadi anda melalui interaksi secara langsung atau tidak langsung, termasuk tetapi tidak terhad kepada:

a) maklumat yang anda berikan kepada JPDP melalui borang, e-mel atau semasa pertemuan secara fizikal;

b) penyertaan dalam soal selidik, kertas konsultasi awam atau program/aktiviti anjuran JPDP;

c) penggunaan laman sesawang atau platform digital JPDP.

4. KESELAMATAN DATA PERIBADI

JPDP komited untuk memastikan data peribadi anda disimpan dengan selamat. Langkah-langkah keselamatan teknikal dan organisasi telah dilaksanakan bagi melindungi data peribadi anda daripada kehilangan, salah guna, ubah suaian, akses atau penzahiran tanpa kebenaran. Hanya individu yang diberi kuasa sahaja dibenarkan untuk mengakses data peribadi ini dan semakan keselamatan dijalankan dari semasa ke semasa.

5. PENYIMPANAN DATA PERIBADI

Data peribadi anda akan disimpan hanya selama mana perlu untuk memenuhi tujuan pengumpulannya atau seperti yang ditetapkan oleh undang-undang. Selepas tempoh tersebut, data yang tidak lagi diperlukan akan dimusnahkan secara kekal.

6. PENZAHIRAN DATA PERIBADI

Data peribadi yang diproses oleh JPDP tidak dikongsi dengan mana-mana pihak lain melainkan penzahiran tersebut dibenarkan di bawah Seksyen 39 Akta 709. Data peribadi anda hanya diproses bagi tujuan yang dinyatakan di atas dan dikongsikan dengan :

a) pembekal perkhidmatan luar yang dilantik oleh JPDP untuk menyediakan perkhidmatan teknologi atau sokongan dan pembayaran secara dalam talian.

b) pihak berkuasa awam atau badan pengawalselia sebagaimana yang dibenarkan atau dikehendaki oleh undang-undang.

7. HAK-HAK ANDA SEBAGAI SUBJEK DATA

Di bawah Akta 709, anda mempunyai hak untuk:
a) Hak untuk mengakses – anda berhak untuk meminta JPDP memberikan salinan data peribadi kepada anda.

b) Hak untuk membetulkan – anda berhak untuk meminta JPDP membetulkan maklumat peribadi yang anda rasa tidak tepat, tidak lengkap atau tidak lagi terkini.

c) Hak untuk menarik balik persetujuan – anda berhak untuk menarik balik persetujuan yang anda telah berikan untuk pemprosesan data peribadi tertakluk undang-undang yang berkuatkuasa. Namun tindakan tersebut boleh menghalang JPDP daripada melaksanakan obligasi kepada anda.

d) Hak untuk menghalang pemprosesan – anda berhak untuk meminta JPDP memberhentikan pemprosesan data peribadi anda bagi suatu maksud yang tertentu.

e) Hak kemudahalihan data – anda berhak untuk meminta JPDP memindahkan data peribadi yang anda berikan kepada organisasi lain.

8. PENGGUNAAN KUKI

Laman sesawang dan platform JPDP mungkin menggunakan kuki bagi meningkatkan pengalaman pengguna. Kuki ialah fail kecil yang disimpan dalam peranti anda bagi membantu laman sesawang berfungsi dengan lebih cekap dan menyimpan maklumat mengenai aktiviti pelayaran pengguna. Pengurusan kuki adalah tertakluk kepada tetapan pelayar web anda. Anda boleh memilih untuk menyekat atau memadam kuki, namun ini mungkin menjejaskan fungsi laman sesawang JPDP. Dengan menggunakan laman ini, anda bersetuju terhadap penggunaan kuki seperti yang dinyatakan.

9. PINDAAN NOTIS

JPDP berhak untuk meminda atau mengemas kini Notis Perlindungan Data Peribadi ini pada bila-bila masa. Sebarang pindaan akan disiarkan di laman sesawang rasmi JPDP berserta tarikh pengemaskinian. Oleh itu, anda digalakkan untuk menyemak notis ini dari semasa ke semasa.

10. MAKLUMAT UNTUK DIHUBUNGI

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, aduan atau ingin mengemukakan permintaan berkaitan pemprosesan data peribadi anda, sila hubungi:

Jabatan Perlindungan data Peribadi (JPDP)
Galeria PJH, Aras 8
Presint 4, Persiaran Perdana Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62100 Putrajaya, Malaysia

Telefon: 03-8861 4200
E-mel: comms@pdp.gov.my

Tarikh Kemaskini: 15 Mei 2025