PENGENALAN

Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan pada 16 Mei 2011 selepas Parlimen meluluskan Rang Undang-undang berkaitan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) iaitu Akta 709.

Tanggungjawab utama Jabatan ini ialah untuk mengawalselia pemprosesan data peribadi individu yang terlibat dalam urus niaga komersial oleh Pengguna Data supaya tidak disalahguna dan disalahpakai oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Keselamatan data peribadi pengguna perlu dilindungi bagi mencegah sebarang bentuk penyalahgunaan terhadap penyimpanan atau pemprosesan data peribadi individu, awam dan swasta di Malaysia secara transaksi komersial adalah termaktub di bawah APDP ini.

Dalam menguatkuasakan APDP, JPDP telah mensyaratkan kepada semua Golongan Pengguna Data Peribadi yang terdiri daripada pihak individu mahupun swasta kecuali Kerajaan untuk berdaftar secara rasmi bagi tujuan melindungi hak-hak pengguna dan awam.

JPDP diketuai oleh Ketua Pengarah dengan dibantu oleh seorang Timbalan Ketua Pengarah. Manakala, terdapat tiga bahagian utama di JPDP iaitu Bahagian Pendaftaran dan Operasi, Bahagian Pemantauan dan Bahagian Perundangan.